Selasa, 8 Mac 2011

Anwar: Mahathir terdesak, cuba lindungi anaknya


Tuduhan-tuduhan yang dilontar oleh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam buku 'A Doctor in the House' atau 'Doktor Dalam Rumah' adalah untuk menutup penyelewengan semasa pemerintahan mantan perdana menteri itu dan demi menjamin masa depan politik anaknya, Muhkriz, kata ketua pembangkang itu.

NONE“Sebenarnya apa yang saya lihat ialah ketakutan dia (Mahathir) terhadap perubahan kerana kezaliman yang berlaku semasa pemerintahannya seperti yang didedahkan dalam buku Barry Wain: Malaysia Maverick. Beliau menghabiskan RM100 bilion lebih (duit rakyat), kata Anwar.

"Mahathir juga mahu menjamin masa depan anaknya seperti yang dilakukan oleh Hosni Mubarak terhadap anaknya Gamal. Dia mahu menjamin anaknya dalam golongan terulung di negara. Ini yang menjadi pertimbangan dia," kata Anwar kepada TVSelangor.

Dalam buku mengenai kisah hidupnya itu, Mahathir sekali lagi mengulangi dakwaan fitnah perlakuan moral Anwar.

Katanya, beliau tidak terkejut dengan pusingan terbaru tuduhan liar oleh Mahathir dan menegaskan bahawa masyarakat celik terhadap motif Mahathir untuk terus menyerang beliau.

Ketuan umum PKR itu berkata pembohongan Mahathir terserlah dalam buku Doktor Dalam Rumah, khususnya apabila mendakwa beliau (Anwar) tidak menafikan tuduhan liwat terhadapnya apabila perkara itu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sebelum dia di pecat dari parti.

azlan"Nyata satu lagi pembohongan jahat ialah Mahathir mendakwa kononnya saya mengaku (tuduhan) dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. Saya tidak akan terkejut sekiranya kuncu-kuncu Umno akan mengesahkan (demikian),” kata Anwar.

"Tetapi kita ada rakaman mesyuarat itu. Sepertimana yang saya ingat, perjalanan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu telah bocor dan tidak ada sama sekali pengakuan saya kononnya mengesahkan tuduhan.” kata Anwar.

Meskipun sering mendakwa Anwar kononnya mengamalkan seks liar, Mahathir tidak sekali pun menghadirkan diri di mahkamah untuk memberi keterangan pada perbicaraan Anwar pada tahun 1998, walaupun atas desakan peguambela mantan timbalan perdana menteri itu.

NONESebaliknya Mahathir memilih untuk terus melontarkan tuduhan-tuduhan itu di luar mahkamah, dan di atas kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu.

Selepas berundur dari jawatan itu, Mahathir meneruskan serangan ke atas Anwar dengan sokongan pemimpin-pemimpin Umno yang melihat ketua pembangkang itu sebagai musuh utama parti mereka yang harus ditumpaskan.
Mahathir memuatkan 20 halaman dalam memoirnya mengenai bagaimana beliau mendapat tahu tentang dakwaan kisah seks Anwar dengan lelaki dan wanita, yang membawa kepada pemecatannya pada 1998.

Ia diceritakan di bawah bab bertajuk 'Anwar's Challenge' dalam memoir setebal 800 halaman itu.

Antaranya, Mahathir menceritakan bagaimana beliau menemubual empat gadis yang memberitahunya bagaimana mereka dipujuk untuk bertemu seorang yang sangat berpengaruh, oleh seorang lelaki India yang mereka kenali sebagai Nalla.

Katanya, lelaki itu telah membawa setiap gadis itu secara berasingan ke sebuah rumah di Kenny Hills. Di situ mereka bertemu seorang yang mereka dikenalpasti sebagai timbalan perdana menteri. Mereka diminta menanggalkan pakaian untuk mengadakan hubungan seks.

Kedua-dua mereka, tulisnya lagi, enggan berbuat demikian tetapi yang dua lagi bersetuju. Mereka bersedia bercakap dengan polis dan dengan beliau, tetapi berkeras tidak mahu memberi keterangan di mahkamah.

Sumber : Malaysiakini

Empat sasterawan negara tampil pertahan Interlok


Empat sasterawan negara hari ini tampil mempertahankan novel Interlok, karya, Datuk Abdullah Huseein dan menganggap tidak ada masalah dilihat pada istilah dan lukisan yang digambarkan oleh pengarang dalam novel berkenaan.

Malah keempat-empat mereka - Muhammad Haji Salleh, Datuk Anwar Ridhwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Noordin Hassan - menyifatkan tujuan penulis itu cukup mulia, iaitu melukis gambaran kaum-kaum di negara ini, dengan masalah dalamannya sendiri, dan di akhirnya bersatu menerima negara dan harapan baru.

“Kami juga tidak mengesan tujuan untuk menghina mana-mana kaum. Akhiran karya ini menawarkan harapan dan kecerahan. Itulah tujuan terpenting pengarang,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, keempat-empat sasterawan negara tersebut mengajak rakyat membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya dapat dikutip pemikiran dan kearifan sasterawan negara.

“Kami, Sasterawan Negara Malaysia, ingin menegaskan bahawa sebuah teks sastera bukanlah sebuah teks politik, dan bukan juga teks sejarah atau geografi. Sebuah karya sastera ialah sebuah teks yang melukis jiwa manusia, perasaannya, nilai dan kepentingannya dalam konteks zaman dan sejarahnya.

“Yang dilukis didekatkan sehampir mungkin kepada kenyataan di dalam dan di luar diri manusia, kerana karya sastera tidak tercipta daripada kekosongan atau vakum. Peristiwa di luar - peperangan dan kedamaian, kesusahan dan kesenangan, kerusuhan dan ketenangan - dilukis oleh kata-kata dan peribadi pengarang. Ini telah dilakukan sejak beribu tahun oleh semua pengarang, di semua negara,” kata mereka.
Tidak selau rapi dan cantik

Mereka berkata sastera bukan dokumen rasmi pemerintah, atau maklumat yang dirapikan serta dicantikkan untuk disebarkan. Sebaliknya, sastera ialah lukisan kehidupan, dan kehidupan tidak
selalu rapi dan cantik.

“Inilah bahan sastera, dan untuk berlaku adil kepada bahan ini sastera melukis dengan warna berbagai-bagai - ada yang merah, kuning, kelabu dan hitam. Itulah warna kehidupan yang lebih banyak jalurnya. Malah pengarang- pengarang dari benua kecil India, telah turut menyentuh isu dalam Interlok yang oleh segelintir orang di sini disensasikan, kerana sistem sosial masyarakatnya telah dinormakan dalam perjalanan panjang peradabannya,” kata mereka.

Menurut mereka Interlok adalah sebuah novel yang melukis suatu deretan waktu, watak dan latardari 1910 hinggalah sebelum merdeka.

“Tujuan penulis cukup mulia, iaitu melukis gambaran kaum-kaum yang terdapat di negara ini, dengan masalah dalamannya sendiri, dan di akhirnya telah bersatu untuk menerima negara dan harapan baru.

“Inilah tujuan pengarang. Manusia yang dilukiskan juga cukup mulia, terutama Maniam, yang besar hati dan jiwanya, dan masih ingin membantu orang lain, walau pun dia pernah dimangsakan,” kata mereka.
Dicairkan

Sehubungan itu, keempat-empat sasterawan negara berkenaan berkata mereka merasa sangat prihatin sekiranya pengarang terus didesak untuk merubah karya mereka sehingga gagasan awal mereka sudah dicairkan.

“Dan sekiranya perubahan pada lukisan satu kaum hanya dibuat, dan tidak pada kaum yang lain, maka akhirnya terdapat suatu lukisan yang tidak lagi berimbang dan benar – hanya cantik pada suatu kaum dan comot pada yang lainnya,” kata mereka.

Justeru, mereka meminta masyarakat membenarkan penulis negara ini melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu.

“Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis,berfikir dan berpendirian,” kata mereka lagi.

Sumber : Malaysiakini