Isnin, 20 Jun 2011

Malaysia ikat Lubnan 0-0

Image © AFP
Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria (tengah) masuk pada separuh masa kedua bagi menggantikan Wan Zack Haikal Wan Noor dalam pertemuan pertama dengan Lubnan di Beirut. (gambar arkib)

KUALA LUMPUR, (D5) - Pasukan Bawah 23 tahun (B-23) Malaysia berjaya mengikat Lubnan seri tanpa jaringan dalam aksi pertemuan pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik 2012 di Beirut.

Aksi kemas di bahagian pertahanan selain bahagian serangan yang berjaya mencipta beberapa peluang disajikan oleh barisan pemain negara sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Bagaimanapun, skuad negara dipaksa lebih banyak berkampung di kawasan sendiri di awal permainan di bawah terik matahari dan melakukan percubaan pertama pada minit ke-11 menerusi percubaan Wan Zack Haikal Wan Noor.

Pada minit ke-21, Malaysia memperolehi peluang terbaik apabila hantaran lintang Fandi Othman tepat di kepala Izzaq Faris Ramlan namun tandukannya tidak tepat.

Bermain dengan berhati-hati di awal minit ke-45, anak-anak buah Ong Kim Swee berjaya menampilkan aksi berbeza sebaik tiupan wisel separuh masa kedua.

Kelibat Izzaq memaksa penjaga gol lawan terpaksa melayangkan badan bagi menghalang percubaannya sebelum dia digantikan dengan Syahrul Azwari Ibrahim.

Pada minit ke-62, Wan Zack Haikal kemudian terus menghadirkan ancaman buat kubu lawan dan kali ini cubaannya tepat ke arah penjaga gol selepas menerima lorongan cantik daripada Gary Steven Robbat.

Malaysia hampir membawa bekalan dalam pertemuan kedua pada 23 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil andai Syahrul Azwari berjaya menewaskan penjaga gol namun pertahanan lebih pantas menguis keluar bola dalam kawalannya.