Sabtu, 4 Jun 2011

'Pelacur' dirantai, conteng: NGO hak asasi berang


Operasi mencegah maksiat di Pulau Pinang malam semalam menimbulkan kontroversi apabila beberapa kumpulan hak asasi mempertikaikan cara pihak polis menggari kira-kira 30 wanita asing dengan rantai dan membuat contengan di muka, dada dan tangan mereka.

penang gro raid 030611 chainWanita asing itu ditahan di sebuah kelab malam di sebuah pusat membeli-belah di Pulau Tikus kerana disyaki melacurkan diri.

Dalam serbuan itu, lapan rakyat tempatan dan 30 wanita asing - 29 dari China dan seorang dari Vietnam ditangkap oleh 19 anggota polis dari Bukit Aman.

Menurut akhbar berbahasa Cina, serbuan dijalankan selepas pihak polis mengintip dan memerhatikan kegiatan kumpulan itu selama seminggu di kelab berkenaan yang dikatakan amat popular di kalangan penduduk tempatan.

Akhbar Cina juga memaparkan gambar-gambar wanita yang dirantai dalam kumpulan itu dan kemudiannya mereka ditandakan dengan pelbagai simbol, termasuk X di dahi seorang daripada wanita itu.

penang gro raid 030611 news clippingPengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Andrew Khoo membidas polis kerana tidak mematuhi piawaian prosedur operasi polis (SOP) dan pada masa yang sama mencabuli hak asasi manusia.

“Kita tidak boleh menandakan mereka secara fizikal... kita boleh tahan mereka tetapi mereka tidak boleh ditanda seperti itu,” katanya ketika dihubungi.

Pengarah Tenaganita Irene Fernandez pula melahirkan rasa terkejut berhubung gambar wanita dirantai dan ditanda.

penang gro raid 030611 marks on chestKatanya tidak adil bagi mengandaikan semua mereka itu bersalah.

“Saya sangsi ini prosedur yang biasa dan jika ia adalah prosedurnya maka polis mesti mendedahkannya. Mesti dijalankan siasatan berhubung perkara ini dan polis mesti jelaskan mengapa mereka bertindak sedemikian.

“Mereka mungkin mangsa pemerdagangan manusia... jika ini benar mereka adalah mangsa,” katanya.

Peguam bagi 'Lawyers for Liberty's Faidah Nadwa Fikri berkata tindakan merantai dan menanda wanita itu sebagai 'luarbiasa dan tidak berperi-kemanusiaan'.

Tegasnya wanita itu cuma adalah suspek dan belum didapati bersalah atas sebarang jenayah lagi.

penang gro raid 030611 chain“Ini masalah budaya kita, masalah kerana kita tidak memahami apa itu peraturan undang-undang.

“Saya lihat apabila seseorang ditangkap dan dibawa ke mahkamah, sesetengah mereka juga tidak memakai selipar... ini menunjukkan betapa buruk pihak berkuasa melayan mereka dan ini adalah isu kemanusiaan,” katanya.





Sumber : Malaysiakini

Gol Abd Hadi selamatkan M'sia



Image © AFP
Pemain negara Mohammad Safee Sali (Kiri) diberi asakan pemain Hong Kong, Wong Chin Hung semasa perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor pada 9 Februari 2011. Gambar arkib 
 
Skuad kebangsaan terselamat daripada ditewaskan oleh Hong Kong selepas sekadar seri 1-1 di dalam perlawanan persahabatan antarabangsa  yang berlangsung di Stadium Stadium Siu San Wan malam tadi.
Penyerang berbisa dari Terengganu Abdul Hadi Yahaya menjadi wira buat negara apabila menyumbat gol penyamaan sekaligus menyelamatkan daripada tewas kepada  HK.
HK hampir mengejutkan Malaysia seawal babak separuh pertama namun mujurlah hantaran dari Lee Wai Lim gagal disudahkan oleh penyerang Chan Siu Ki serta  berjaya dikeluarkan dari kawasan bahaya oleh pemain pertahanan negara.
Percubaan terbaik negara hadir pada minit ke-35 menerusi tandukan bebas oleh Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak di dalam kotak penalti lawan tetapi malangnya ia  sekadar melintasi palang gol lawan.
Kedudukan 0-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan aksi rancak dan bertenaga dipamerkan oleh pemain kedua-dua pasukan yang memburu gol pembukaan.
Usaha HK akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-60 apabila Chan berjaya menyudahkan hantaran cantik Lee Wai dari sebelah kanan padang dengan satu tandukan  menarik untuk menewaskan penjaga gol Malaysia Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
Namun, kelebihan itu tidak kekal lama apabila penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-66 menerusi  rembatan jarak dekat bagi menyamakan kedudukan 1-1.
Skuad kebangsaan terus memberikan tekanan dan mengasak pasukan tuan rumah dan pada minit 73 Safiq Rahim hampir menyumbat gol kemenangan buat negara namun  rembatannya ditepis keluar penjaga gol Wei Zhao yang beraksi hebat pada perlawanan malam tadi.
Kedudukan seri 1-1 kekal hingga tamat permainan yang menyaksikan kedua-dua pasukan berpuas hati dengan keputusan yang diperoleh malam tadi.

Sumber : Astro Arena