Sabtu, 23 Julai 2011

Nicol hampiri kejuaraan ketujuh peribadi


Nicol David enggan mengambil mudah cabaran dalam Kejohanan Terbuka Malaysia CIMB 2011. (gambar arkib)

KUALA LUMPUR, (D5) - Nicol David semakin hampir merangkul gelaran ketujuh Terbuka Malaysia CIMB peribadi selepas mara ke final buat kali kesembilan pada hari ini.
Pemain skuasy negara berusia 27 tahun tersebut nyata mendominasi aksi yang berlangsung di The Curve, Damansara selepas berjaya menewaskan pilihan ketujuh Omneya Abdel Kawy dari Mesir 11-9, 12-10, 11-4.
Pemain no 8 dunia dari Mesir tersebut bermain dengan baik pada set kedua untuk memaksa pusingan masuk ke set penentuan tetapi ia masih belum cukup untuk menyekat kemaraan Nicol yang memerlukan 45 minit untuk melengkapkan kemaraannya ke final.
Manakala dalam perlawanan separuh akhir antara Jenny Duncalf dari England menentang pemain no 10 dunia Camille Serme menyaksikan Duncalf berjaya menewaskan lawannya 14-12, 11-5, 11-8.
Jenny bermain dengan tenang hari ini dan berjaya menguasai permainan dengan kepantasan serta menggunakan kelebihan yang terdapat pada dirinya walaupun terpaksa bermain dalam set penentuan.
Kejayaan Duncalf ini merupakan yang kedua kalinya dalam Terbuka Malaysia dan wakil England tersebut akan menanti Nicol pada final nanti.

Sumber : Astro Arena

Gol kontroversi - peminat tidak puas hati

Image © AFP
Penjaga gol Malaysia, Mohd Izham Tarmizi dan rakan sepasukan Mohd Zubir Mohd Azmi (kiri) cuba membantah keputusan "gol" oleh pengadil, pada masa yang sama pemain Chelsea John Obi Mikel (kanan) meraikan jaringan tersebut ketika perlawanan antara Chelsea dan pasukan pilihan Malaysia di Stadium Bukit Jalil, 21 Julai 2011.

 Rata-rata peminat bola sepak tempatan meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan keputusan penjaga garisan yang membuat keputusan "gol" hasil daripada tendangan percuma penyerang sensasi Chelsea, Didier Drogba pada perlawanan menentang pasukan pilihan Malaysia, malam tadi.
Gol kontroversi yang membolehkan Chelsea menang tipis (1-0) itu, sekaligus menyelamatkan pengurus baru Chelsea Andre Villas Boas yang mahu mengekalkan rekod kemenangannya.
Selain Drogba, Chelsea yang dilengkapi pemain termahal seperti Fernando Torres, Frank Lampard, John Terry, Nicolas Anelka, Florent Malouda dilihat beraksi hambar dan dianggap gagal menyerlah setelah diberi saingan hebat skuad ong Kim Swee yang dibarisi pemain muda.
Salah seorang peminat bola sepak, Raja Azrie Raja Muzaffar berpendapat adalah memalukan bagi Chelsea apabila mereka hanya meraih kemenangan 1-0 lebih-lebih lagi menerusi gol kontroversi.
"Beberapa kali saya mengamati ulangan babak jaringan tersebut. Ia ternyata tidak gol apabila bola hanya melantun diluar garisan gawang. Walaupun begitu, keputusan penjaga garisan yang bertugas adalah keputusan mukhtamad.
"Saya memuji barisan pemain negara yang berusaha mengekang kemaraan Chelsea," katanya.
Menurut seorang lagi peminat, Helmi Zafawi Zainalabidin turut meluahkan perkara yang sama: "Kalau diikutkan, jaringan tersebut memang tidak masuk. Itulah pentingnya keputusan pengadil dibuat menerusi teknologi garisan gol supaya keputusan tepat dapat diperolehi.
"Dalam pertemuan itu, saya melihat pertahanan Malaysia menunjukkan persembahan menarik, tetapi barisan serangan harus dipertingkatkan bagi meraih lebih banyak peluag didepan pintu gol lawan," katanya.
Bola hasil tendangan Drogba pada minit ke-79 itu terlebih dahulu singgah di tiang sebelum terkena badan penjaga gol gantian pasukan kebangsaan, Mohd Izham Tarmizi. Namun penjaga garisan, M. Sivanesan mengisyaratkan bola tersebut sudah melintas garisan.

Sumber : Astro arena

Ahad, 17 Julai 2011

Keluarga Baharudin tuntut KPN mohon maaf

Keluarga peserta himpunan Bersih 2.0 yang meninggal dunia, Allahyarham Baharudin Ahmad, menuntut Ketua Polis Negara memohon maaf dengan segera kepada mereka dan seluruh rakyat Malaysia kerana menyalahgunakan kuasa dan kekerasan terhadap rakyat.

Tuntutan ini terkandung bersama 4 lagi tuntutan lain dalam memorandum yang diserahkan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Mereka yang hadir bersama peguam Pakatan Rakyat mahu kesemua pegawai polis termasuk pegawai tinggi yang memerintah operasi di kawasan tersebut digantung tugas sehingga selesai penyiasatan kes ini dan penyiasatan yang komprehensif tanpa sebarang percubaan untuk melindungi mana-mana pihak dijalankan dengan segera.

Selain itu, turut dituntut agar laporan penuh penyiasatan ini dicetak dan disiarkan kepada orang awam serta tindakan pendakwaan dibawa ke atas semua pegawai polis tanpa mengira ketinggian pangkat yang bertanggungjawab di atas kematian arwah.

Peguam N. Surendran berkata, pihak polis secara tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak bersalah dalam insiden tersebut sebelum siasatan menyeluruh dibuat.

"Kami berada di sini hari ini kerana tidak puas hati dengan sikap dan tindakan polis. Tanpa siasatan menyeluruh, percubaan melindungi kesalahan mereka telah bermula," katanya yang juga naib presiden PKR.

Menurutnya juga, polis tidak boleh berdolak dalik dalam perkara ini kerana pihak peguam sedang mengumpulkan bukti bergambar yang menunjukkan polis menggunakan gas pemedih mata secara berlebihan.

"Ini merupakan satu jenayah. Tulang rusuk arwah patah,gigi patah, luka di bibir,apa penjelasan polis?

"Kita ada 'footage' kekasaran polis dan saksi sendiri nyatakan sewaktu allahyarham bergelut dalam kesakitan,tiada polis datang membantu," katanya.

Memorandum tersebut diterima oleh ASP Shafiei Mohamad dan kemudiaanya dipanjangkan kepada pegawai atasan, Ramly Mohamed Yusuf atas permintaan mereka.

Sementara itu, abang Allahyarham, Kasim Ahmad berkata, beliau akan terus menuntut pihak polis bertanggungjawab di atas kekejaman mereka.

Beliau yang merupakan pesara tentera juga berkata, rakyat termasuk allahyarham cuma  pencinta demokrasi dan polis tidak wajar bertindak kasar ke atas mereka.

"Rakyat cuma keluar menuntut pilihan raya yang bersih dan adil tapi polis khususnya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein jadikan Kuala Lumpur seperti Gaza, penuh huru-hara, jalan semua ditutup, menyusahkan orang ramai," katanya.

Turut bersama dalam penyerahan tersebut ialah seorang lagi naib presiden PKR, peguam R. Sivarasa dan ketua penerangan PKR, Latheefa Koya yang juga seorang peguam bersama kira-kira 20 aktivis Bersih 2.0.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, A. Rajaratanam melahirkan rasa kesal dengan sikap polis yang enggan menghulurkan bantuan meskipun menyaksikan allhayarhan sedang tenat.

"Masa arwah sedang tenat, saya minta polis panggil ambulans tapi mereka enggan.Polis beruniform tidak layan pun permintaan saya.Jadi minta polis jelaskan perkara ini," katanya.

Sumber : Harakah

Rahim: M'sia sasaran usaha jatuhkan negara anti-Yahudi

Bekas ketua polis negara, Tan Sri Rahim Noor berkata beliau yakin di sebalik tirai isu hak asasi, sebenarnya ada puak yang menentukan supaya negara yang menentang Yahudi dan Israel, akan jatuh dan Malaysia adalah salah sebuah negara tersebut.

NONE"Pihak itu akan gunakan segala-galanya dan menjadikan orang politik tempatan yang telah dikaji latarbelakangnya sebagai sasaran atau alat menghalalkan cara mereka.

"Saya yakin ada tangan yang tersembunyi menggunakan soal hak asasi untuk menentukan kerajaan sesuatu negara yang ghairah membaham Israel akan jatuh," kata Rahim dalam wawancara yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia hari ini.

Berdasarkan pengamatan dan bacaannya, kata Rahim, istilah hak asasi manusia sebenarnya lahir dari Ghetto of the Jews, di mana bangsa Yahudi mengalami tekanan, penindasan oleh pelbagai kuasa besar untuk beratus tahun lamanya sehingga tertubuhnya negara Israel.

"Akibat daripada hidup dalam buangan mereka melahirkan arus pemikiran menerusi penulisan, malah ada yang menyebut revolusi Perancis tercetus akibat bibit-bibit tulisan pemikir Yahudi di Eropah.

"Kita sebagai orang tepi, menerima bahangnya sekarang kerana saya yakin dan percaya bibit sejarah penderitaan orang Yahudi yang dizahirkan menerusi tulisan, telah di hijacked oleh pelbagai pihak termasuk AS," tambahnya.

Rahim percaya ada sesuatu "yang kita tidak nampak di peringkat antarabangsa" bertujuan mahu menentukan survival Yahudi dalam memastikan 'the promise land' yang disebut dalam kitab-kitab dalam pegangan mereka.

Kumpulan tanpa wajah ini, menurut beliau, bergerak di mana-mana dan "bagi saya AS kini menjadi Israel terbesar di dunia."

"Manakala tangan tersembunyi mencari mana-mana individu yang boleh dijadikan puppet (boneka), mereka boleh berpangkalan di mana-mana baik di Washington, Paris, Jakarta atau di mana saja.

"Tidak perlu ramai, mereka mungkin hanya tiga tokoh yang faceless dan merekrut beberapa wakil beberapa orang secara tidak untuk menyebarkan kerosakan dan menyalurkan dana yang bukan sedikit.

"Saya bimbang orang tempatan yang digunakan, akan fikir mereka lebih pandai umpama cerita Do Re Mi yang nak kenakan Pak Lebai untuk makan percuma, akhirnya mereka yang terkena," tegasnya.

Menurut Rahim lagi, beliau bimbang kelompok tersebut, akibat terlalu ghairah, tidak dapat melihat apa kaitan isu dalaman seperti pilihan raya dengan tangan-tangan tersembunyi ini.

"Sedangkan mereka sangat bijak, sangat kaya dan mengawal media termasuk dunia hiburan dan antarabangsa. Sebenarnya kita boleh lihat siapa hidden hand (tangan tersembunyi itu) jika kita betul-betul mahu lihat," katanya.

Isu ini, tambah Rahim, tidak akan selesai terutamanya apabila kuasa besar seperti AS menaungi orang begini.

Ditanya sejauhmana gerakan tersebut berjaya meresap di kalangan rakyat negara ini, Rahim berkata:

"Mereka tidak masuk secara terang-terangan. Segala-galanya bersahaja dan mengikut gelombang. Mereka ada di mana-mana sama seperti gelombang lain satu masa dahulu."

Menurut Rahim, setiap abad ada gelombangnya.

"Sekarang ini gelombang hak asasi manusia manakala abad ke-19 dan ke-20 menyaksikan gelombang fahaman sosialis yang melahirkan cara hidup baru selepas kejatuhan empayar Eropah," tambahnya

'Polis bengis macam nak makan saya'

Tindakan polis menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0 genap seminggu lalu terus dikritik hebat, sehingga Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan kelembutannya pun kini merasa amat benci kepada kerajaan.

NONE"Sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, (oleh) kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada alternatif jadi go through saja.

"Tidak pernah saya rasakan begitu bencinya saya pada kerajaan. Iitulah waktunya saya lebih benci," kata A Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis.

Ketika diwawancara Malaysiakini di Bangsar kelmarin, penulis kreatif pelbagai genre itu bagimanapun, beliau sempat berseloroh bahawa ia masih belum sampai ke tahap "paling benci".

NONEMenghabiskan hari yang panjang daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 200 meter daripada Istana Negara di sebelah petang, A Samad menyifatkan tindakan polis menangani "perhimpunan damai" itu secara "bengis".

"(Dikasari) secara langsung tidak. Tetapi dengan wajah dengan apa itu memanglah kalau boleh mereka hendak makan saya," kata lelaki 76 tahun yang bersosok kecil dan berjanggut lebat bewarna putih itu.

Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), A Samad kali ini menempuh pelbagai rintangan.

Selipar, bukan sepatu Nike
Beliau bukan sahaja hilang capal, tetapi hilang garam, tuala kecil dan air mineral yang dibawanya bagi menangi gas pemedih mata dan meriam air daripada pihak polis.

NONE"Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) dua orang peguam pun hilang (setelah gas ditembak)," katanya yang mengakui sudah menjangkakan pendekatan keras itu akan diambil pihak berkuasa.

Pada Sabtu itu, dengan baju basah akibat air hujan dan meriam air, A Samad terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada anak muda hendak beri saya sepati Nike. Ini saya fikir sepatu yang cantik sangat, saya tak mahu.

"Kemudian orang beri saya sepatu yang besar, saya gunakan sebab hendak berjalan agak susah. Sampai di Hotel Midah, Kampung Attap, ada orang membelikan saya selipar. Jadi lepas itu dia pula berkaki ayam," kata A Samad.

Pengarang novel Salina itu juga menyuarakan rasa terharunya pada semangat perpaduan dan hormat menghormati semua bangsa pada hari itu demi mencapai matlamat bersama ke arah pilihan raya yang bebas dan adil.

"Ada anak India hendak bagi sepatu dia, anak Cina hendak beri sepatu dia. Saya merasa amat bangga.

"Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan," kata A Samad Said lagi.

Sumber :Malaysiakini

M'sia bermain secara kompetitf - Clarke

Image © AFP
Pemain Malaysia, Safiq Rahim (Biru) menjaringkan gol pertama negara menerusi sepakan percuma semasa menentang Liverpool FC dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 16 Julai 2011.

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Malaysia berjaya menampilkan persembahan yang kompetitif dan tidak gentar sama sekali, demikian pandangan penolong jurulatih kelab Liverpool, Steve Clarke.
Katanya Malaysia telah menunjukkan permainan yang mantap pada perlawanan persahabatan dengan kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Livepool, yang dalam siri Jelajah Asia 2011, mengatasi pasukan Harimau Malaya 6-3 pada perlawanan yang disaksi oleh lebih 80,000 penonton di stadium berkenaan.
"Perlawanan ini adalah baik sekali dan menghiburkan. Mereka (Malaysia) bermain dengan baik," katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.
Sidang media itu turut disertai oleh pemain baru Charlie Adam.
Clarke berkata siri Jelajah Asia itu adalah amat penting bagi semua pemain membuat persediaan menghadapi musim EPL 2011/2012.
Dalam pada itu, Adam, yang menjaringkan gol pertama pada minit ke-26, berkata beliau gembira dengan jaringan itu dan berharap dapat menyumbang lebih banyak gol untuk pasukan itu pada musim baru EPL.
Sementara itu, jurulatih skuad negara Datuk K.Rajagobal berkata beliau berpuas hati dengan perlawanan itu walaupun terdapat beberapa kelemahan dalam benteng pertahanan negara.
"Ada peningkatan dalam persembahan pemain dan saya meminta pemain bermain lebih agresif," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak kisah dengan bilangan jaringan pada perlawanan hari ini tetapi apa yang bermain dalam fikirannya ialah perlawanan menentang Singapura pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia di republik itu pada 23 Julai ini.
Katanya berikutan perlawanan dengan Liverpool itu, beliau sudah mempunyai idea mengenai barisan pemain pada perlawanan menentang Singapura nanti.
Katanya perlawanan dengan Liverpool merupakan ujian terbaik sebelum menghadapi Singapura.
Malaysia layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia dengan perturan gol di tempat lawan selepas terikat dengan agregat 4-4 menentang Taiwan.
Malaysia akan menentang Singapura pada perlawanan pertama di republik itu pada 23 Julai dan perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Julai ini.

Sumber : Astro Arena

Malaysia gagal menyekat Liverpool

Image © AFP
Penyerang Malaysia Mohd Safee Mohd Sali menjaringkan dua gol ketika perlawanan persahabatan menentang Liverpool di Stadium Bukit Jalil, 16 Julai 2011. Malaysia tewas 6-3..

KUALA LUMPUR, (D5) - Malaysia mempamerkan semangat juang tinggi ketika bertemu Liverpool dalam aksi persahabatan Jelajah Asia 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil namun tetap gagal menghasilkan kejutan apabila tewas 6-3 kepada kelab EPL itu.

Pujian bagaimanapun harus diberikan kepada anak buah Datuk K. Rajagobal yang turun dengan misi mengembalikan maruah yang tercalar setelah tewas kepada Arsenal 4-0 Rabu lepas. Barisan yang diketuai Safiq Rahim jelas tidak lagi gentar beradu tenaga dengan bintang-bintang Liverpool dan berani melakukan cabaran untuk merampas bola.

Permainan seperti yang dijangkakan dikuasai oleh Liverpool, dengan hantaran-hantaran pendek seringkali memgelirukan Malaysia dan memaksa mereka melakukan terjahan lewat untuk merampas bola.

Liverpool terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-25 menerusi penalti yang disempurnakan Charlie Adam setelah Carroll dijatuhkan oleh pertahanan Malaysia. Bintang baru Liverpool itu terpaksa mengambil semula penaltinya setelah jaringan pertama dibatalkan pengadil. Adam bagaimanapun tenang menewaskan Sharbinee buat kali kedua.

Malaysia bagaimanapun tidak langsung goyah apabila berani mengasak kubu Liverpool, yang kelihatan sedikit kepenatan dan hasil usaha keras barisan Malaysia membuahkan hasil apabila Safiq Rahim tenang menyempurnakan sepakan percuma tiga minit sebelum babak pertama berakhir, melepasi penjaga gol, Brad Jones.

Di babak kedua, hampir keseluruhan kesebelasan utama Liverpool digantikan dengan pemain-pemain simpanan, di mana bintang-bintang seperti Dirk Kuyt, Maxi Rodriguez, Alberto Aquilani dan David Ngog diturunkan.

Pada minit ke 67, Liverpool kembali di hadapan apabila Ngog mempamerkan tindakan penyudah yang tajam menewaskan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat dan penyerang kelahirang Perancis itu tidak mengambil masa lama untuk menggandakan akaun golnya apabila dua minit kemudian, dia merembat kencang ke arah kiri pintu gol Malaysia menewaskan penjaga gol Kelantan itu.

Tersentak dengan kehilangan dua gol berturut-turut, Malaysia kemudian menurunkan penyerang sensasi negara Safee Sali untuk mempertajamkan barisan serangan. Bekas penyerang Selangor itu segera menguji penjaga gol Liverpool dengan rembatan leret pada minit ke-72.

Liverpool terus mengamuk apabila pada minit ke-74, Maxi Rodriguez menyudahkan hantaran silang daripada kiri pintu gol Malaysia untuk gol keempat mereka, membuatkan Khairul Fahmi mengeleng-gelengkan kepala dengan prestasi hambar barisan pertahanannya itu.

Safee Sali terus mempamerkan persembahan hebat apabila rembatan derasnya pada minit ke-77 terpaksa ditepis keluar oleh Martin Hansen, yang masuk menggantikan Brad Jones pada permulaan babak kedua.

Seminit kemudian usaha keras Safee Sali akhirnya membuahkan hasil apabila dia menolak masuk bola muntah yang gagal ditangkap kemas Hansen setelah Mohd Amirulhadi menghantar bola leret dari kiri pintu gol Liverpool.

Stadium Nasional sekali lagi bergegar apabila Safee Sali menewaskan perangkap ofsaid Liverpool dan melorongkan bola melepasi jangkauan Hansen sekali lagi pada minit ke-81 untuk gol ketiga Malaysia.

Pemain kelab Pelita Jaya itu terus menghuru-harakan barisan pertahanan Liverpool, yang jelas bergelut untuk menangani kelincahan pemain itu.

Namun Liverpool akhirnya lega apabila Maxi menanduk kemas hantaran Kuyt daripada arah kanan untuk gol kelima Liverpool ketika aksi sudah pun masuk ke masa tambahan.

Para penyokong yang membanjiri stadium terus dihiburkan dengan gol keenam Liverpool apabila Kuyt menyudahkan hantaran Aquilani untuk gol terakhir perlawanan.

Sumber : Astro Arena