Ahad, 24 April 2011

Kes Sarbaini: Keluarga tak puas hati, nak tahu ‘kisah sebenar’

Kes Sarbaini: Keluarga tak puas hati, nak tahu ‘kisah sebenar’Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis sambil mendakwa ia tidak dibuat secara menyeluruh untuk mengetahui sebab-sebab kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.
Sebaliknya, ketika dihubungi The Malaysian Insider, sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini berkata pihaknya mempersoalkan hasil siasatan polis kerana ia tidak dibuat secara menyeluruh selain nampaknya mahu “menyembunyikan” sesuatu daripada diketahui umum.
“Keluarga mempersoalkan kenapa hasil siasatan tidak begitu menyeluruh, macam nak sorokkan sesuatu... bila sudah jadi macam ini, cuba pula nak sorokkan sesuatu.
“Kami sekeluarga tertanya-tanya adakah cerita ini akan habis begini sahaja, kami memang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan dan kami tetap nak tahu apa yang terjadi, kami nak tahu kisah sebenar,” katanya.
Kata sumber itu, keluarga Ahmad Sarbaini sedia maklum punca kematian adalah jatuh dari bahagian tinggi tetapi apa yang dipersoalkan adalah bagaimana dia boleh jatuh sehingga membawa kepada kematian bapa lima anak itu.
“Kami sekeluarga tetap mempersoalkannya, siasatan macam tak begitu menyeluruh... kami memang tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi atas sebab apa dia jatuh? Sebab apa dia mati, sebab apa yang saya tahu kebiasaannya kalau jatuh dari tingkat tiga dia mungkin hanya akan patah-patah sahaja tapi ini sampai mati (meninggal dunia) pula.
“Sebab itu kami nak tahu apa yang terjadi, sebab apa dia jatuh? Adakah benar dia jatuh dari tingkat tiga dengan sindiri atau ditolak dari atas?
“Kami nak tahu semuanya, kami memang tidak puas hati dan kami nak tahu cerita yang sebenarnya,” tambah sumber itu.
Ditanya mengenai kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan kelalaian serta mahu membersihkan dakwaan kononnya Ahmad Sarbaini membunuh diri sebagaimana dikatakan sebelum ini, sumber itu berkata, ia akan dibincangan bersama keluarga terdekat.
“Kami akan bincangkan dulu perkara ini, nanti akan dimaklumkan kemudian,” jawabnya ringkas.
Semalam polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM.
Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.
“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.
“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.
Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.
Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.
Minggu lalu, keluarga Ahmad Sarbaini memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.
Ahmad Sarbaini ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.
Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.
Kematian Ahmad Sarbaini merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja.

Sumber : Malaysia Insider

Dr M: Gelombang ‘1Melayu,1Bumi’ Utusan idea malapetaka

Oleh Shazwan Mustafa Kamal
Perkasa: Kami hormati Mahathir tapi gerakan ‘1Bumiputera’ tetap dilancar
 Dilihat sebagai pendirian yang agak mengejutkan, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil pendirian bertentangan mengenai idea gelombang “1Melayu, 1Bumi” Utusan Malaysia dengan menyifatkannya sebagai satu “malapetaka” jika menjadi kenyataan.
“Saya harap ia tidak akan berlaku. Ia amat tidak baik... orang ramai harus fikir mengenai ini, kita menuju malapetaka jika ia berlaku,” kata bekas perdana menteri ini kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Perkasa berkata pertubuhan bukan kerajaan itu akan mengepalai gerakan “1Melayu, 1Bumi” yang disarankan oleh Utusan Malaysia sambil memberi kaum Melayu amaran kononnya komuniti Cina mahukan kuasa politik muktamad.
Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, kumpulan itu tiada masa “selesa” lagi untuk menunggu parti-parti Melayu bertindak.
“Perkasa akan memikul tanggungjawab menggerakkan gelombang 1Melayu, 1Bumi, di mana adalah jelas masyarakat Cina menerusi DAP cuba mahu mengambil alih kuasa politik Melayu,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.
Dalam tulisan ruangan Cuit kelmarin, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berkata, DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.
Katanya, hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuhnya oleh orang Cina tetapi yang lain “semua sudah.”
“Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia,” katanya.
Dia berkata slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina.
“Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini,” katanya lagi.
Katanya, pilihan raya umum ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka.
Kata Zaini, “sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru.”
Dia seterusnya berkata, pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa “1Melayu, 1Bumi.”
Ahad lalu, edisi Mingguan Malaysia menggesa Barisan Nasional (BN) supaya tidak terlalu “pemurah” dalam melayan kedudukan masyarakat Cina dalam Kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya Sarawak.
Mingguan Malaysia, yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan berkata majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan “mengubah kerajaan negeri” sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.
BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 15 dan Bebas satu.
Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak memperoleh 62 kerusi dan ia meningkat kepada 63 kemudian.
Walaupun BN memperoleh majoriti lebih dua pertiga tetapi mengalami penurunan kerusi kali ini. Begitu juga undi popular diperoleh BN semalam berbanding lima tahun lalu.
“Keputusan tersebut mempunyai makna yang perlu diterjemahkan oleh kerajaan negeri pimpinan Abdul Taib Mahmud.”
Awang Selamat berharap Taib akan menubuhkan Kabinet dengan mengambil kira realiti daripada peti undi.
“Ternyata, rata-rata pengundi Cina menolak BN dan menyokong DAP,” kata Awang Selamat dalam ruangannya di Mingguan Malaysia.
Dalam ruangannya, Awang Selamat juga berkata kerajaan negeri BN tidak lagi boleh bersikap terlalu pemurah untuk memberikan tempat kepada perwakilan kaum itu.
Kemudian, Dr Mahathir mendakwa masyarakat Cina Sarawak turut dijangkiti “virus rasisme Cina” yang menjadi prinsip perjuangan DAP, komponen Pakatan Rakyat, yang memperoleh kerusi terbanyak dan menggandakan kawasan dimenangi mereka, kelmarin.
Kata beliau, pada masa-masa lalu DAP ditolak sepenuhnya oleh penduduk Sarawak.
Dalam responsnya hari ini, Dr Mahathir berkata gerakan sedemikian akhirnya akan membawa kepada sistem dua parti di mana setiap satu akan didominasi oleh satu kaum sahaja.
“Jika kita teruskan dengan ini, akan wujud sistem dua parti... jika satu sebelah didominasi kaum Melayu dan satu lagi oleh Cina, maka ia adalah tidak baik,” kata bekas pengerusi BN dan bekas presiden Umno ini.
Ini kali pertama Dr Mahathir yang juga penaung Perkasa melahirkan pandangan yang bertentangan dengan pendirian pertubuhan bukan kerajaan yang mahu membela hak dan keistimewaan orang Melayu itu.

Sumber : Malaysia Insider

Jumaat, 25 Mac 2011

Eskay didakwa sakit hati kerana jambatan bengkok


Seorang bekas pengawal peribadi mendakwa kontroversi video seks politik yang terbaru muncul kerana ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah berang dengan ketua umum PKR yang enggan membalas 'jasanya'.

Mohamad Mahti Abdul Rahim, yang pernah berkhidmat dengan seorang menteri mendakwa Eskay sakit hati kerana Anwar enggan menjadi saksi dalam kes saman sivil yang membabitkan projek 'jambatan bengkok'.

NONEMahti, seorang anggota Unit Tindakan Khas polis yang kemudiannya berkhidmat sebagai pengawal peribadi kepada bekas timbalan menteri dalam negeri, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, adalah antara saksi dalam kes berkenaan.

Dalam keterangannya, Mahti berkata Megat Junid telah menyerahkan surat tawaran daripada Unit Perancangan Ekonomi kepada Eskay bagi membantu projek berkenaan diserahkan kepada Merong Mahawangsa Sdn Bhd.

Eskay menyaman Merong Mahawangsa dan pengarahnya Datuk Yahya Abdul Jalil sebanyak RM20 juta kerana melanggar syarat kontrak.
Tambak Johor
"Hanya selepas itu, saya tahu Eskay ditawarkan projek bagi membina jambatan baru menggantikan tambak Johor,” katanya kepada mahkamah.

Menurut Mahti, beberapa hari sebelum tayangan video lucah di hotel Carcosa Seri Negara, Eskay berjumpa dengannya dan memohon sama ada beliau boleh mendapatkan perkhidmatan empat anggota Unit Tindakan Khas (UTK).
NONENamun, Mahti berkata beliau tidak mahu terbabit dengan apa yang dirancang oleh Eskay dan memaklumkan kepada ahli perniagaan itu beliau enggan mendengar sebarang butiran perkara tersebut.

Mahti juga berkata ahli perniagaan yang mempunyai hubungan yang meluas itu memberitahunya tayangan video lucah itu mendapat sokongan orang 'nombor satu'.
“Dia bagitau dia buat ini untuk "number 1" itu dari mulut dia sendiri. Saya tak percaya dan tak mahu terlibat. ...dia nak cerita keburukan Anwar tapi saya tak nak dengar, takut terjebak," katanya.
Mahti bagaimanapun berkata beliau tidak mempercayai Eskay dan berpendapat Najib tidak terbabit dengan video seks itu seperti yang didakwa oleh Eskay.
Sayang Najib

“Saya sayang Najib dan takut dia ni cuba nak kaitkan Najib,” katanya.
Menurut Mahti, Eskay juga cuba memburuk-burukkan bekas timbalan perdana menteri itu tetapi tidak diendahkannya.
NONE"Lepas saya beri keterangan kita ada keluar makan dia marah-marah pasal Anwar, sebab tak mau jadi saksi dia.

“Dia maki hamun Anwar, kata apa jadi pun saya akan jatuhkan Anwar. Dia kata Anwar ada ambil duit yang sepatutnya untuk dia.

“Dia kata dia dah banyak tolong Anwar. Anwar tak guna, sedangkan dia tolong macam-macam. Dia kata dia bawa Anwar ke Singapore guna kereta kerabat diraja Johor pada tahun 90an pergi buat DNA. Shamsidar dan anak-anak semua dia bawa tiba-tiba Anwar tak mau bantu dia," katanya dengan panjang lebar.
Menurut Mahti lagi, Eskay juga membawanya ke rumah bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim.

“Shuib nampak keberatan. Orang tua orang baik, saya kenal dia,” katanya.
azlanDitanya oleh wartawan sama ada beliau diminta oleh Anwar bagi mengadakan sidang akhbar hari ini, Mahti berkata tidak ada sesiapa yang mengarahkannya berbuat demikian.

“Lillahi Taala saya tak jumpa Anwar atau Anwar (ada) panggil saya. Apa saya buat ini sebab dia manusia tak kenal budi... pembohong besar. Tak ada siapa yg suruh,” katanya.
Selain Eskay dan Shuib, turut terbabit adalah bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Sumber : Malaysiakini

Rahim, Eskay nafi ditahan, Shuib di Bukit Aman


Bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, masing-masing menafikan mereka ditahan polis berhubung siasatan video seks yang dikatakan membabitkan seorang lelaki yang mirip seorang ahli politik terkenal dengan seorang wanita.

NONELaporan the Star Online hari ini berkata kedua-dua mereka dipercayai ditahan polis tetapi kini dibebaskan dengan jaminan polis.
"Apa? Saya tak tahu yang saya ditangkap. Sekarang ini saya di rumah. Saya hanya ke (ibu pejabat) polis malam tadi bagi membantu siasatan mereka dan setelah beri keterangan, saya pulang ke rumah.

"Tiada disebut mereka mengenai tangkapan. Mungkin mereka (the Star) anggap beri keterangan malam tadi sebagai tangkapan. Saya tidak tahu. Saya di rumah,” kata Rahim.
Eskay pula yang sedang tidur, ketika dihubungi melalui telefon juga terkejut apabila diberitahu mengenai laporan portal berita itu.

NONE"Malam tadi, saya hari beri kenyataan mengikut Seksyen 112 (Kanun Prosedur Jenayah). Saya serahkan rakaman video dan itu sahaja. Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik pulang lebih awal selepas kenyataannya dirakamkan. Saya pulang kemudian selepas menyerahkan barangan berkenaan untuk siasatan polis.

"Saya tidak tahu banyak mengenai prosedur polis kerana jarang berurusan dengan mereka (polis). Namun, saya tidak fikir yang sama ditahan. Saya tidak menandatangani apa-apa dokumen.
Sedang tidur

“Saya sekarang di rumah dan sedang tidur bila awak telefon. Saya deman selesema akibat terkena hujan lebat semalam. Maaf, saya agak pening kerana demam,” kata Eskay (kiri).
Sementara itu, akhbar harian berbahasa Cina hari ini melaporkan Datuk Shuib Lazim - datuk ketiga dalam kumpulan 'Datuk T' - dibawa dari rumahnya di Sungai Petani, Kedah ke Bukit Aman.

Menurut isteri Shuib, polis datang dengan menaiki kereta peronda. Adalah dipercayai beliau sedang memberi keterangan di Bukit Aman.

NONEIsnin lalu, Rahim dan Eskay yang menamakan kumpulan mereka bersama bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim sebagai 'Datuk T' mengaku bertanggungjawab menayangkan video lucah kepada wartawan terpilih di hotel Carcosa Seri Negara.
Semalam, Rahim yang juga bekas ketua pemuda Umno memberi keterangannya kepada polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai disoal siasat, Rahim berkata beliau telah menyerahkan rakaman asal video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang kepada polis.

NONESelain itu, beliau juga menyerahkan kepada polis seutas jam tangan, yang dikatakan diambil dari bilik hotel di mana adegan seks itu dirakam.

Selain Rahim, turut memberi keterangan berhubung video seks tersebut semalam ialah Eskay.
Ahli parlimen Sungai Petani, Johari Abdul (kiri) juga memberitahu Malaysiakini bahawa beliau bukan dua lelaki yang dilaporkan ditahan polis itu.

Johari sebelum ini pada sidang akhbarnya mengakui menonton pita video lucah yang ditunjukkan kepadanya oleh kedua-dua Rahim dan Eskay pada Isnin lalu.

Sumber : Malaysiakini

Video lucah dan dosa politik

Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Dalam budaya manusia yang tiada nilai agama dan tamadun berakhlak, isu keaiban peribadi dijadikan mainan golongan yang selekeh.

Maka muncullah kisah seks dan skandal peribadi tokoh politik itu dan ini sebagai senjata beracun membunuh musuh politik masing-masing.

Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Ia haram.

Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak. Malangnya praktik ini telah diamalkan oleh ramai tokoh dan penceramah politik sejak dahulu lagi di negara kita ini.

Sama ada PAS, Umno dan PKR; ramai individu dalamparti-parti itu telah terbabit dalam perkara yang diharamkan oleh syarak ini. Tuduhan seks, arak, kaki judi dan seumpamanya sudah menjadi ringan di lidah mereka.

Bahkan kadang-kala mereka menghina rupa ciptaan Allah yang ada pada musuh-musuh politik mereka seperti mengatakan si botak, gagap, hidung besar, mamak dan lain-lain. Mereka melanggar pantang larang agama dalam berpolitik.

Wabak inilah sedang memakan diri mereka sendiri. Mereka yang tiada etika dan akhlak telah dan akan terus terbabit dalam hal ini.

Sedangkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat." (Riwayat Muslim).
Aib peribadi
Islam melarang didedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin.

Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk tontonan orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf.

Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Angka yang hampir bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi - sekalipun mungkin benar - adalah berat di sisi agama.

Firman Allah (maksudnya): "Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: Ayat 4).

Nabi SAW sendiri mengelakkan agar aib itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar.

Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

"Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu 'Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi SAW menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi SAW: Bahkan untuk manusia keseluruhannya."
Bukan bukti Asas
Rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti. Bagi kes zina hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain.

Jika ia terlepas, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran:

"Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis 'barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya...."

Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya.

Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya.
Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih (bermaksud):

"Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, hal 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).
Berbeza Dengan Kes Kezaliman
Ia berbeza dengan kes jenayah terhadap lain seperti bunuh, curi, rompak, rogol, diliwat secara paksa, rasuah dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu dibongkar dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa.

Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat. Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa.

Itu pun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pengundi dan orang awam tentang kezaliman yang boleh menimpa diri atau orang lain.

Firman Allah (maksudnya): "Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa". (Surah al-Nisa: Ayat 148-149).
Tidak Perlu Suruhajaya
Tiada keperluan menubuhkan suruhanjaya khas bagi kes-kes maksiat peribadi. Ini hanya akan membazirkan harta rakyat. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya 'Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah.

Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-ma'ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy 'an al-munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan.

Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:

"Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta'ala telah melarang hal ini. Kisah 'Umar dan 'Abd al-Rahman bin 'Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa 'Umar RA telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah 'Umar dan berkata: Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. 'Umar bertanya: Apa dia? Dia berkata: Allah Ta'ala telah berfirman (maksudnya): Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain. Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya. Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya): Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka 'Umar pun meninggalkannya... Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut." (Al-Ghazali, Ihya 'Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).
Ingatan
Muslim hendaklah mengelakkan diri dari terlibat dalam kes-kes seperti ini. Ia menjadi pengajaran kepada semua parti politik. Manusia-manusia yang rendah nilai dan maruah sanggup untuk terbabit dalam hal seperti ini sejak lama dahulu.
|
Mereka ini ada dalam Umno, PKR dan PAS. Sedangkan Allah berfirman (maksudnya):

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah al-Hujurat: 12).


Bangkit generasi baru
Marilah kita bermufaraqah atau meninggal segala pelakon atau watak yang selekeh dan rela menghalalkan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka. Tanpa mengira parti! Mereka mesti diusir dari pemainan bodoh ini.

Kita tentang semua pelakon politik yang suka mengelak kain orang. Tak kira kerajaan atau pembangkang. Kita dijadikan 'penonton bodoh' yang seakan merelakan apa sahaja watak yang mereka lakonkan.

Politik kita memerlukan nafas baru dan dibersihkan dari golongan yang jijik dan kotor ini! Kita perlukan politik idea, bagaimana dan cara membangunkan umat dan rakyat agar hidup berdisiplin, bermaruah dan bertamadun. Bukan cerita-cerita bodoh seperti ini!


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti kerajaan Perlis. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.

Isnin, 21 Mac 2011

Anwar: Saya bukan lelaki dalam video seks

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keras menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan lelaki dalam video seks yang didedahkan pagi ini.
Bercakap dalam satu sidang media petang ini, Anwar menyifatkan dakwaan seks itu sebagai "fitnah jahat" dan "jijik" yang "diselaras di peringkat kuasa tertinggi."
Katanya, lagi, tuduhan berkenaan juga bertujuan mengaibkan beliau dan keluarganya.
Pada masa video itu dikatakan dirakamkan, Anwar berkata beliau berada di rumah bersama kakitangannya, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anak dan cucu-cucunya.
Perut lebih buncit
Katanya, beliau juga telah mengemaskini Twitternya pada masa itu, yang akan membuktikan bahawa beliau bukan lelaki dalam video tersebut.

anwar pc on sex video alledge 210311Tambahnya, beliau juga telah merekodkan tulisannya di Twitter pada tempoh berkenaan "supaya boleh memperkukuhkan hujah (beliau)."
Sambil tersenyum Anwar juga berkata, lelaki dalam video itu "berperut buncit" berbanding beliau.
"Memang diberitahu kepada saya bahawa gambar itu mirip kepada gambar saya.
"Cuma perut orang itu jauh lebih buncit dari saya," katanya yang disambut gelak ketawa oleh para pemimpin PKR yang turut hadir di sidang media berkenaan.
Anwar turut berdiri untuk membolehkan jurufoto mengambil gambar perutnya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak mengetahui siapakah "Datuk T" yang dilaporkan terlibat dengan tayangan video berkenan.
Akan lapor polis
Ketika ditanya, Anwar berkata beliau akan membuat laporan polis sebaik mengenalpasti siapakah pihak yang bertanggungjawab membuat tayangan berkenaan.
"Saya sedang merujuk kepada peguam untuk melihat apakah isunya. Saya belum melihat (video itu), saya tidak tahu siapa pembuatnya, saya tidak tahu sama ada ia akan diedarkan," katanya.
Dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, beliau turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai "serangan fitnah jahat terbaru dalam bentuk video."
"Visual yang ditayang tengahari di Carcosa merupakan satu rekayasa jahat musuh politik yang berhasrat untuk membantutkan kemaraan saya, PKR dan Pakatan Rakyat.
"Kita tentu menuntut kepada pimpinan politik negara dan musuh politik Pakatan Rakyat agar hentikan politik kotor dan lucah ini.
"Jangan heret rakyat dan negara terjebak dalam politik kotor dan lucah kamu," katanya lagi yang membacakan satu kenyataan.

Ahad, 20 Mac 2011

Isu Al Kitab: Mufti Perak bimbang umat Islam marah, tak puas hati

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria memberi amaran keputusan Putrajaya untuk melepaskan naskhah kitab Injil yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang dan Kuching akan membawa kepada rasa tidak puas hati dan kemarahan orang umat Islam.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Harussani berkata beliau bimbang umat Islam akan bangkit menentang keputusan itu dan menyebabkan lebih banyak ketegangan dalam situasi semasa yang dilihat sangat sensitif.
“Saya takut, apa pun boleh berlaku di sini. Orang tidak gembira dan apa jua boleh berlaku,” kata beliau lagi.
Harussani berkata beliau telah berusaha untuk berhubung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak mendengar keputusan itu Selasa lalu bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memenuhi gesaan pemimpin-pemimpin Kristian dan beberapa parti politik agar melepaskan Al Kitab, dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri.
“Tetapi, saya tidak dapat bercakap dengan beliau (Najib) dan pembantu beliau juga tidak dapat menawarkan saya dengan sebarang maklumat,” katanya lagi.
Masyarakat Kristian dan Islam negara ini terlibat dalam ‘rebutan’ berkaitan dengan penggunana kalimah Allah sejak beberapa tahun lalu  dan ia berakhir dengan kes mahkamah di mana pada akhir 2009 keputusannya memihak kepada gereja Katolik yang menerbitkan akhbar The Herald.
Bagaimanapun Peguam Negara membuat rayuan dan ia masih di peringkat Mahkamah Rayuan.
Umat Islam menganggap kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh mereka.
Bagaimanapun penganut Kristian pula berhujah ia adalah perkataan Arab yang turut digunakan oleh pengiut agama lain termasuk Yahudi bagi merujuk kepada Tuhan, termasuk di negara-negara Arab dan Indonesia.
Harussani berkata, tidak kira sama ada isu itu masih didengar di mahkamah atau sebaliknya, kalimah Allah hanya harus digunakan oleh umat Islam dan eksklusif bagi mereka.
Harussani juga berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara pada 25 Mac ini untuk membincangkan perkara tersebut dan berusaha memujuk pihaknya agar menghentikan pelepasan naskhah Al Kitab.
“Saya juga akan cuba bertemu dengan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri. Saya akan bercakap dengan mereka,” katanya lagi.
Harussani menambah, beliau tiada pilihan memandangkan berhadapan dengan tekanan daripada masyarakat Islam untuk menghentikan naskhah-naskhah itu daripada dikeluarkan.
“Sejak diumumkan tentang pelepasan (naskhah Al Kitab), saya menerima SMS demi SMS. Umat Islam memberitahu saya yang mereka marah dan mereka bertanya saya, mencabar saya ... apa yang hendak dilakukan?
“Disebabkan saya selalunya lantang dalam isu-isu ini, jadi apa yang perlu saya lakukan? Saya akan cuba bertemu dengan kementerian,” katanya lagi.
Harussani berkata umat Islam tidak menentang penggunaan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, tetapi hanya perkataan Allah yang digunakan sebagai pengganti kepada Tuhan.
“Alasan kami mudah. Islam adalah agama rasmi di negara ini dan Allah, dalam al-Quran, didefinisikan sebagai “Yang Maha Tunggal’, yang bermakna satu-satunya Tuhan,” kata beliau lagi.
Harussani berkata meskipun kementerian membenarkan pelepasan dengan dua syarat tetapi tiada jaminan bahawa naskhah-naskhah itu tidak akan sampai ke tangan Muslim.
“Apa jaminan yang mereka ada? Apa jaminan yang mereka ada bahawa mereka (masyarakat Kristian) tidak akan menyebarkannya kepada Muslim?
“Mereka akan berkata, oh, kami tidak memaksa mereka (Muslim) untuk mengambil kitab itu, mereka sendiri akan mengambil. Jadi mengapa mencetuskan masalah ini?” katanya lagi.
Selasa lalu, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching Sarawak, dan Pelabuhan Klang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata langkah kerajaan itu adalah selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan kitab itu mesti dicop dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian sahaja”.
“Sejak peruntukan undang-undang itu digunakan pada tahun 1982, tiada sebarang masalah atau isu yang timbul dengan pelaksanaannya,” katanya.
Selain itu, Idris berkata kajian teliti oleh Jabatan Peguam Negara juga mendapati pengeluaran kitab-kitab itu tidak akan menggangggu dalam prosiding mahkamah berkaitan penggunaan kalimah Allah.
“Oleh itu, dalam konteks berikut Kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan kitab Injil tersebut,” katanya.