Isnin, 14 Februari 2011

LIGA SUPER 2011 - T-TEAM MASIH MENCARI

Selepas lengkap jadual perlawanan ketiga Liga Super Malaysia 2011 pasukan PBDKT T-Team (T-Team) masih lagi mencari kemenangan pertama mereka musim ini selepas dikalahkan 'di tempat sendiri' oleh pasukan Harimau Muda 'A' dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Kekalahan 3-1 itu menyaksikan pasukan bimbingan Ketua Jurulatih, Yunus Alif masih lagi dengan satu mata yang dikutip pada hari pembukaan apabila mengikat Kedah di Alor Setar dalam perlawanan yang tidak menghasilkan sebarang gol. Namun begitu, T-Team berjaya juga mendaki satu anak tangga ke tangga ke 12 apabila kekalahan 4-1 Johor FC kepada Kelantan di Kota Bahru menjadikan perbezaan gol mereka lebih baik dari pasukan kelab dari Pasir Gudang itu.
Penutupan Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah juga sedikit sebanyak mempengaruhi aksi pasukan kelab dari Kuala Terengganu itu. Sebelum ini mereka juga gagal mengutip sebarang mata dalam perlawanan 'tempat sendiri' mereka di Paroi apabila tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan.
Hasrat pasukan T-Team untuk mengutip tiga mata mula tergugat apabila Sivanesan menjaringkan gol pertama Harimau Muda hanya selepas tiga minit perlawanan berlangsung. Tugasan mereka bertambah sukar selepas setengah jam apabila Irfan Fazail menjaringkan gol kedua pasukan bimbingan Ong Kim Swee itu.
Seterusnya pemain yang turut beraksi dalam Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini, Mohamad Fadhli Shas mencatitkan namanya sebagai penjaring pada minit ke 53 sebelum Haris Safwan mengurangkan jurang jaringan pada minit ke 87. Kemenangan itu seharusnya menjadi pendorong kepada pasukan Harimau Muda yang akan memulakan usaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012 apabila bertemu dengan Pakistan pada 23 Februari 2011 di Kuala Lumpur.
Namun buat T-Team ianya hendaklah dijadikan sebagai pelajaran bagaimana hendaklah menghidupkan enjin jentera kempen mereka ketika bertandang ke Kuantan untuk bertemu dengan Pahang pada perlawanan seterusnya pada 15 Februari ini.
Terengganu yang buat seketika berada di tempat kedua liga selepas kemenangan 3-1 ke atas Perlis pada hari Jumaat kini menduduki tempat ke lima. Jiran Terengganu, Kelantan yang mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Johor FC mendahului liga dengan perbezaan gol ke atas Perak yang turut mencatat kemenangan dalam pertemuan mereka bersama pendahulu liga sebelum itu, Negeri Sembilan.
Kemenangan Harimau Muda di atas melonjakkan mereka ke tempat ke tiga sementara Negeri Sembilan jatuh ke tempat ke empat. Selangor yang akan menjadi tuan rumah kepada pasukan Terengganu pada hari Selasa ini diikat oleh pasukan ibukota Kuala Lumpur 1-1 di Shah Alam dalam perlawanan terakhir Safee Salee bersama 'The Red Giants' sebelum perpindahannya ke Pelita Jaya.
Keputusan itu meletakkan Kuala Lumpur dan Selangor di tempat ke enam dan ketujuh dengan masing-masing mengutip lima dan empat mata. Turut sama mengutip empat mata setakat ini ialah pasukan Felda United yang menewaskan Pahang 2-1, Sabah dan Kedah yang bertemu di Kota Kinabalu dengan keputusan memihak kepada pasukan tuan rumah 1-0 hasil jaringan Farid Idris.
Pahang menduduki tempat ke 11 dengan tiga mata hasil kemenangan hari pembukaan ke atas Harimau Muda sementara T-Team, Johor FC dan Perlis menghuni tiga tempat terbawah liga.
LSM-2011-02-12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan