Pun begitu, Malaysia tidak akan bergantung pada rekod masa lalu tetapi akan menentang Singapura habis-habisan dalam perlawanan pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia di Stadium Jalan Besar hari ini.
Kali terakhir pasukan senior kedua-dua negara bertemu di padang ialah pada perlawanan persahabatan yang berlangsung pada November 2008 dengan keputusan 2-2.
Ketika itu, skuad kebangsaan Malaysia dibimbing oleh B.Sathianathan sementara Singapura dikendalikan oleh jurulatih dari Serbia, Radojko Avramovic.
Hari ini, skuad senior kedua-dua negara akan bertemu lagi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 yang akan berlangsung di republik itu sebelum perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Julai.
Ketika skuad Singapura, The Lions, bermain psikologi dengan memperkecilkan kemampuan pasukan Harimau Malaya, pasukan dari seberang tambak itu perlu menyedari, mereka kini berdepan skuad baru Malaysia.
Berbanding The Lions yang menggunakan khidmat beberapa pemain import yang telah diberikan kerakyatan segera di bawah program "Singapore Foreign Talent Scheme", skuad Harimau Malaya dibarisi oleh anak tempatan yang terdiri dari gandingan pemain senior dan junior.
Di antara pemain import Singapura ialah Egmar Goncalves dari Brazil, Mirko Grabovac (Croatia), Qiu Li, Shi Jiayi (China), Itimi Dickson (Nigeria), Mustafic Fahrudin dan Aleksandar Duric (Yugoslavia). Bagaimanapun, untuk perlawanan ini, Avramovic dilaporkan akan menurunkan Aleksandar, Mustafic, Qiu Li and Shi Jiayi.
Daripada 24 pemain yang disenaraikan jurulatih Rajagobal, hanya empat pemain yang sama berada dalam skuad Sathianathan ketika perlawanan 2008 itu. Empat pemain tersebut ialah Mohd Asruddin Putra Omar, Mohamad Aidil Zafuan, Mohd Safee Mohd Sali dan Mohd Amirulhadi Zainal.
Rajagobal terpaksa meninggalkan empat tonggak utama akibat kecederaan yang dialami ketika pertemuan dengan Arsenal pada 13 Julai dan Liverpool pada Sabtu, iaitu penyerang Norshahrul Idlan Talaha, S.Chanturu, Mohd Shakir Shaari dan Shahrizal Saad.
Sementara pasukan The Lions yang turut membariskan 24 pemain, jelas bergantung kepada tenaga lama. Daripada 24 pemain tersebut, 10 pemain adalah dari skuad yang sama pada perlawanan 2008.
Mereka ialah Lionel Lewis, Daniel Bennet, Juma'at Jantan, Ismail Yunos, Afiq Yunos, Shahril Ishak, Shia Jiayi, Isa Halim, Aleksandar Duric dan Qiu Li.
Singapura juga masih menggunakan khidmat Avramovic sementara Harimau Malaya kini dibimbing oleh jurulatih (Rajagobal) yang menjulang bola sepak Malaysia dengan menjuarai Sukan SEA 2009 di Laos serta kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010.
Rajagobal berkata Harimau Malaya akan cuba "membunuh" Singa Singapura di padang mereka sendiri tetapi pada masa yang sama berkata pihak lawan perlu dihormati dan tidak boleh dipandang rendah.
Beliau juga mahu anak buahnya memberi komitmen 100 peratus sebagai sebuah pasukan dan tidak mempersia-siakan sebarang peluang yang ada untuk menghasilkan gol.
Sumber : Astro Arena
Tiada ulasan:
Catat Ulasan