Khamis, 10 Februari 2011

Legenda MU ke Malaysia April ini

Image © AFP
Bekas pemain Manchester United, Andy Cole ketika beraksi dalam perlawanan amal di Old Trafford, England, 13 Mac 2007.

KUALA LUMPUR, (Bernama) - Peminat bola sepak Malaysia akan berpeluang menemui dua bekas pemain Manchester United, Bryan Robson dan Andrew Cole apabila mereka turut serta dalam Jelajah Asia di tiga bandar pada April ini bagi membantu mengumpul dana untuk badan kebajikan kelab bola sepak, Manchester United Foundation.
Kuala Lumpur akan menjadi destinasi kedua dan mereka akan muncul pada majlis makan malam amal Manchester United Foundation dan Unicef Lagends dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad di Mandarin Oriental pada 8 April.
Dua wira hebat Old Trafford itu juga akan melawat Bangkok pada 6 April dan Hong Kong pada 9 April.
"Sejumlah barangan Manchester United yang unik akan dilelong dan kesemua hasilnya akan diserahkan untuk projek amal kelab itu. Sebagai tambahan, rakan kongsi kelab, Hubolt telah menyumbangkan satu daripada barangan istimewanya untuk setiap majlis," kata yayasan itu dalam kenyataan semalam.
Robson, 54, merupakan ketua pasukan paling lama dalam sejarah kelab itu. Beliau yang juga dikenali sebagai 'Captain Marvel', kini merupakan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Thailand.
Cole, 40, pula ialah penjaring gol kedua terbanyak dalam sejarah liga. Beliau menjaringkan 187 gol dalam perlawanan liga, menempatkannya di belakang Alan Shearer yang menjaringkan 260 gol.
Robson dan Cole akan membantu untuk mengumpul 1 juta Pound (kira-kira RM4.9 juta) untuk United for Unicef dan Manchester United Foundation.
Sejak 1999, Manchester United yang berkejasama dengan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) bagi program United for Unicef, telah mengumpul lebih 2 juta Pound (kira-kira RM9.8 juta) bagi program-program Unicef.
Projek usahasama itu telah memberi manfaat kepada kanak-kanak di seluruh dunia termasuk pelbagai projek di Asia seperti pembinaan sekolah di Myanmar, mengurangkan kesan HIV di Vietnam dan Malaysia serta melindungi wanita dan kanak-kanak daripada pemerdagangan manusia di China.
"Kami merasa teruja Bryan dan Andrew menyertai jelajah Asia untuk mengumpul derma bagi membantu United for Unicef dan Manchester United Foundation. Sebagai sebuah kelab, satu daripada tanggungjawab kami ialah ke arah meningkatkan kehidupan generasi akan datang.
"Melalui aktiviti mengumpul derma tahun ini, kami harap untuk mengumpul 1 juta Pound," kata ketua eksekutif Manchester United Foundation John Shield yang dipetik dalam kenyatan itu.

Sumber: Astro Arena

Tiada ulasan:

Catat Ulasan