Penyerang Mohd Ashaari Shamsuddin (tengah) antara tonggak yang menjadi sandaran skuad Terengganu untuk memburu gelaran sulung Liga Super musim ini. (Gambar arkib).
Pendahulu liga, Terengganu, harus memanfaatkan tiga aksi tempat sendiri dalam baki empat perlawanan untuk memiliki gelaran sulung, bermula dengan menentang Kedah, sabtu ini.
Kehadiran Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bagaimanapun tidak boleh diambil mudah skuad bimbingan Irfan Bakti.
Ia kerana daripada 12 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Terengganu hanya menang sekali iaitu pada aksi Liga Super 2007 dengan keputusan 3-1. semenjak itu, skuad Penyu tewas 9 kali dan seri 2 kali dengan skuad Hijau Kuning.
Cuma, jika persembahan terkini diambil kira, Terengganu punyai prestasi lebih cemerlang - 7 kemenangan, seri dua kali dan tewas sekali berbanding Kedah yang hanya melakar 4 kemenangan , tewas empat kali dan seri dua kali.
Sandaran Terengganu sudah pasti kepada trio berbisa Abdul Hadi Yahya, Manaf Mamat dan Ashaari Samsudin yang telah meledakkan 35 gol dalam liga setakat ini.
Tatkala Terengganu terbayang takhta juara, Kedah mampu jadi pemusnah, seperti ketika menafikan langkahan skuad pantai timur itu ke final Piala FA musim lalu.
Terengganu pastinya sudah belajar kesilapan lalu untuk tidak membenarkan Kedah terus berwatak selaku pemusnah harapan.
Pencapaian terbaik Terengganu dalam liga sebelum ini ialah naib juara musim 1992 dan 2001. Sudah pasti kedudukan pendahulu ketika ini, mahu ditukar dengan gelaran buat julung kalinya.
Terengganu menghuni tangga pertama dengan 47 mata, 3 mata dihadapan Kelantan di tempat kedua. Selangor pula di tangga ketiga dengan 42 mata.
Jangan lupa saksikan pertemuan Terengganu menentang Kedah pada Sabtu secara langsung pada jam 8:30 malam hanya di astro arena.
Sumber : Astro Arena
Tiada ulasan:
Catat Ulasan